LAHAD DATU – Polis berjaya memberkas seorang lelaki dan merampas lebih tiga kilogram syabu bernilai sekitar RM131,050 dalam satu serbuan di hadapan sebuah kedai di Lorong I-Peak 2, I-Peak Bussiness Centre, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, kejayaan itu dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menerusi serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 12.45 tengah hari.
“Bertindak atas risikan dan maklumat pengedaran dadah, suspek berjaya ditahan dan didapati suspek membawa beg bimbit berwarna kuning.
“Pemeriksaan lanjut ke atas beg berkenaan menemui tiga peket besar dan lima peket kecil lut sinar disyaki syabu seberat 3,055 gram,” katanya dalam sidang medianya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, pada Selasa.
Menurut Dzulbaharin, rampasan dadah berkenaan dipercayai mampu digunakan anggaran seramai 15,775 penagih.
Katanya, suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Beliau berkata, sejak Januari tahun ini hingga Jumaat, sebanyak 1,386 tangkapan berjaya dibuat daripada 1,290 kes penyalahgunaan dadah yang dikendalikan IPD Lahad Datu.
“Tangkapan membabitkan Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 39A(2) ADB 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1) ADB 1952.
“Sepanjang tempoh itu juga, kita berjaya merampas 5,167.86 gram dadah bernilai RM178,464.60,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar orang ramai terus menyalurkan maklumat berkaitan kepada polis bagi memastikan Lahad Datu bebas penyalahgunaan dadah.




