KUANTAN – Seramai tiga usahawan terpilih Felda menempatkan produk mereka di lobi menara Kuantan 188 bermula hari ini.
Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, ia adalah permulaan jalinan kerjasama antara Felda dan pihak menara Kuantan 188.
Katanya, kerjasama itu akan memberi impak besar kepada usahawasan Felda dalam mempromosikan produk mereka.
“Sudah tentu ini memberi satu impak besar kepada usahawan di luar sana terutama sekali usahawan Felda yang berkecimpung dan mempromosikan produk mereka.
“Saya berpesan kepada usahawan tadi, dengan adanya perkhidmatan mereka di dalam Kuantan 188 dapat meningkatkan profilnya sendiri iaitu produk mereka yang berada di tahap antarabangsa, ” katanya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian Pameran dan Jualan Produk Usahawan Felda di lobi menara Kuantan 188, hari ini.
Turut hadir Pengurus Felda Wilayah Kuantan, Dr Mohd Syaiful Hassan dan Ketua Pembangunan Perniagaaan, Pemasaran dan Jualan Kuantan 188, Abdul Jamil Mohamed.
Kiosk menempatkan produk usahawan Felda itu dibuka setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam pada hari bekerja dan sehingga jam 12 tengah malam pada Jumaat hingga Ahad.
Sejak produk itu ditempatkan di kiosk di lobi Kuantan 188 kira-kira dua bulan lalu, hasil jualan dan sambutan diterima adalah sangat menggalakkan.
“Sebanyak tiga usahawan ini adalah untuk permulaan dan kita tengah berbincang lagi dengan bahagian operasi untuk kita menambah nilai lagilah.
“Kita tengah mengkaji lagi usahawan yang boleh berdaya saing dan berdaya maju serta berkebolehan dalam memenuhi permintaan,” kata Amizar.




