TAPAH – Masih tidak cukup menggunakan gambar individu dikatakan ahli UMNO dalam bahan hebahan kempen, Perikatan Nasional (PN) sekali lagi cuba mengelirukan pengundi Ayer Kuning apabila menyalahgunakan Akademi Bola Sepak YB Haji Ishsam (AYBI FC).
Perkara itu diluahkan oleh anak kepada penyandang kerusi itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan salah guna AYBI FC bagi penganjuran pertandingan bola sepak persahabatan anjuran PN.
Muhammad Isnabil Ishsam, 32, berkata, dirinya hanya mengetahui mengenai penyalahgunaan nama AYBI FC untuk program yang dijadualkan berlangsung jam 5 petang esok, itu menerusi panggilan telefon daripada rakannya.
Menurutnya, penganjur perlawanan bola sepak tiga penjuru itu tidak memaklumkan beliau mahupun organisasi AYBI FC mengenai penggunaan nama akademi berkenaan bagi tujuan terbabit.
“Kami langsung tidak dimaklumkan mengenai penggunaan nama AYBI FC dan ketika saya membuat semakan (ke atas bahan hebahan terbabit) memang ia benar-benar berlaku.
“Bagaimanapun, selepas kami tegur, tiba-tiba dia (penganjur) tukarkan kepada ‘Yus Tapah’ yang juga setiausaha kepada Allahyarham bapa saya bagi akademi berkenaan. Saya harap poster ini (perlawanan bola sepak anjuran PN) dapat diturunkan kerana ia program PN,” katanya ketika ditemui media di Tapah, pada Khamis.
Dalam pada itu, Muhammad Isnabil berkata, laporan berhubung penyalahgunaan itu dilakukan bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan penyokong Barisan Nasional (BN).
Tegas anak sulung Isham itu, ini kerana Allahyarham bapanya tidak pernah mempunyai kaitan dengan PN, selain sentiasa mengutamakan perjuangan bersama BN hingga beliau menghembuskan nafas terakhirnya.
“Kami sebagai (ahli dan jentera BN) tak tahu mengenai perkara ini. Bapa saya juga tidak pernah ada sebarang kaitan dengan PN sebab beliau sentiasa mengutamakan perjuangan bersama BN.
“Kita tiada kena mengena dengan parti lawan. Saya harap poster ini diturunkan serta-merta supaya tak timbul kekeliruan dalam kalangan penyokong BN dan ahli keluarga,” katanya.
Ditanya pihak mengendalikan AYBI FC, beliau berkata, individu yang akan menerajui akademi berkenaan hanya akan ditetapkan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning selesai.
“Dulu ia dikendalikan bapa saya tetapi kini beliau sudah meninggal dunia. Ada pihak menghubungi saya semalam, untuk bertanya siapa akan menguruskan AYBI FC dan saya akan berurusan dengannnya selepas PRK.
“Nanti kita akan hubungi semula individu berkenaan, sama ada ada beliau boleh teruskan atau tidak. ‘Yus Tapah’, Setiausaha AYBI FC dijangka akan menguruskan akademi ini,” katanya.
PRK Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian Ishsam akibat serangan jantung pada 22 Februari, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir menentang calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.




