TAPAH – Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengakui sentimen ladang babi yang dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN) menjejaskan undi kaum bukan Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning.
Beliau berkata, naratif itu menjadi ketetapan kempen kepada pembangkang mengetengahkan isu itu dibuat selepas mengambil kira rintihan dikemukakan penduduk di Ayer Kuning.
“Betullah, (naratif ternakan babi memberi impak negatif kepada PN) tetapi itulah isu tempatan yang sebenarnya kerana terlalu banyak kandang babi dalam kawasan ini.
“Jadi kita orang Melayu merasakan mengapa isu sebegitu rupa diambil mudah oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad,” dakwanya ketika ziarah kasih di Kampung Dato Kamaruddin, pada Khamis.
Stigma penternakan babi haram yang dimainkan oleh PN pada PRK Ayer Kuning ternyata retorik politik semata-mata pembangkang dan perkara itu terbukti apabila tidak dapat mengesahkan industri hiliran itu memiliki lesen atau tidak apabila diajukan soalan oleh media.
Malah, penduduk di Kampung Tanjung Keramat menafikan terdapat ladang babi beroperasi di kawasan tersebut, seperti didakwa oleh Ketua Pemuda PN Perak, Hafez Sabri.
Berdasarkan pemerhatian The Malaysia Press (TMP), tiada ladang babi haram yang wujud di kampung tersebut, malah industri hiliran itu menggunakan sistem penternakan moden dan berhawa dingin selain ditempatkan sejauh kira-kira tiga kilometer dari penduduk setempat.
Dalam pada itu, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang dilihat bersikap terdesak untuk meraih undi apabila menunggang isu ternakan babi dengan menyatakan ia boleh diatasi hanya jika UMNO bergabung dengan PN bagi membentuk kerajaan Perak.
Ahli Parlimen Larut itu juga menegaskan majoriti kerusi daripada gabungan kedua-dua parti itu antara lain membolehkan agenda memperjuangkan rakyat semakin mudah.
“Persoalan pengundi sangat mudah, ia melambangkan seolah-olah UMNO yang hanya ada sembilan kerusi, bukan lagi majoriti (dalam Kerajaan Negeri). Jadi jika bawa dalam mesyuarat Exco, dia tak ada kuasa menentukan sesuatu.
“Inilah yang berlaku, tetapi kalau mereka (UMNO) bergabung dengan kita (PN) kuasanya besar, akan ada 35 kerusi, (ia) adalah majoriti besar dan kita boleh aturkan mengikut agenda betul. Apa sahaja kemahuan rakyat, boleh sama-sama kita perjuangkan dan inilah yang sepatutnya diambil kira Saarani,” dakwanya.
Sementara itu, Hamzah yang juga bekas Menteri Dalam Negeri mendakwa, kerjasama PN-UMNO bakal diterima baik dalam kalangan pengundi, membentuk gabungan kuat yang momentumnya mampu bertahan bagi jangka panjang.
“Mereka (penyokong UMNO) tak bersetuju gabungan UMNO-DAP. Walaupun kekal dalam UMNO tetapi sifat parti berkenaan asalnya memperjuangkan ‘Abata’ (agama, bangsa dan tanah air) kepada mereka.
“Jadi kalau begitu caranya, mengapa mereka (UMNO) harus bergabung dengan DAP, padahal orang bawah mereka pun tahu membacanya,” katanya.
Slogan UMNO dan DAP adalah stigma ‘sampah’ yang menjadi senjata pembangkang, khususnya Bersatu dalam memikat pengundi Melayu namun stigma itu membuktikan parti itu bercakap tidak serupa bikin.
Mana tidaknya, Bersatu pernah bersama DAP ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri kali kedua pada 2018 manakala 2008 menyaksikan Pas bergabung dengan DAP bagi membentuk Kerajaan Negeri Perak selain Pas pernah bersama dalam Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-12 dan ke-13.




