
SEBAGAI penghargaan kepada pasukan sepak takraw negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian imbuhan kemenangan sebanyak RM10,000 untuk setiap pemain dan jurulatih.
Ia sebagai imbuhan kepada pasukan berkenaan yang telah memenangi pingat emas dan merangkul gelaran juara berganda dalam Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw Tahun 2024 pada Mei lepas.
Menerusi catatan di Facebook rasminya, beliau turut menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kerana telah mengharumkan nama negara.

“Dalam pertemuan ini, saya turut umumkan pemberian imbuhan kemenangan sebanyak RM10,000 untuk setiap pemain dan jurulatih pasukan sepak takraw kebangsaan.
“Sekalung tahniah dan penghargaan tertinggi buat seluruh anggota pasukan sepak takraw kebangsaan yang telah mengharumkan nama negara serta melonjakkan imej serta standard sukan sepak takraw kebangsaan di persada dunia,” katanya.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Dalam pertemuan itu, beliau turut mengambil kesempatan mengadakan perbincangan berkait masa hadapan sukan sepak takraw negara.
“Antara perkara yang dibincangkan semasa pertemuan ini ialah keperluan mewujudkan stadium sepak takraw negara, status sukan sepak takraw sebagai sukan bukan teras, peluang melanjutkan pelajaran serta kerjaya dan kebajikan atlet sepak takraw,” katanya.