DATUK Seri Anwar Ibrahim tiba di lokasi insiden kebakaran saluran paip gas Petronas di Putra Heights di Subang Jaya.
Perdana Menteri tiba pada jam 4.57 petang bagi meninjau dan mendengar taklimat daripada pasukan keselamatan berhubung kejadian itu.
Ketibaan Perdana Menteri diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Selepas taklimat, Perdana Menteri dijangka melawat mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.
Terdahulu, media melaporkan kebakaran saluran paip gas dilaporkan mulai reda dan terkawal berikutan tekanan gas yang semakin berkurangan.
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohammad.





