Anak-anak lorong juga mahu berjaya, bebas dari lorong maksiat

KUALA LUMPUR – Di saat kanak-kanak lain bermain riang menikmati waktu kanak-kanak bersama sebuah keluarga sempurna, ada anak-anak lorong yang hanya menagih kasih sayang dan simpati orang luar sementara penjaganya sibuk ‘melakukan pekerjaan’ demi menyara keluarga.

Tinjauan penulis di Lorong Haji Taib 2, Chow Kit mendapati, di sebalik bahang panas tempat berkumpul segala jenis kejahatan, masih ada mereka yang dahagakan kasih sayang dan rahmat dari Tuhan untuk menempuhi perit-jerih kehidupan terutamanya anak-anak kecil yang tidak berupaya memilih tempat lahir mereka namun berupaya mengubah masa hadapan.

Bagaimana anak-anak pewaris masa hadapan itu akan membesar sekiranya mereka terus hidup dalam persekitaran itu, tidak mengenal siang atau malam, dididik dengan kata-kata kesat dan dikelilingi segala bentuk kemaksiatan serta ada yang ditunjukkan contoh tentang bagaimana menjadi penerus legasi ‘menggadaikan harga diri demi menyara kehidupan’.

Tidak mahu anak-anak lorong terus lalai terbuai dek minda separa sedar yang percaya bahawa mereka hanya mampu menyara kehidupan dengan menjual diri, seorang aktivis dan juga pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan, Mohd Azhan, 56 atau lebih dikenali sebagai Abe Hae atau Ayah, tekad mahu membawa anak-anak kecil itu bebas dari lorong maksiat sekaligus menghentikan generasi penyambung dosa Lorong Haji Taib.

Mula berjinak dalam bidang kesukarelawanan pada Julai 2021 bersama isterinya Shahdattul Olivia Ferranee Imelda Taib atau lebih dikenali sebagai Ibu oleh anak-anak lorong, dengan berkongsi rezeki bersama gelandangan dan golongan asnaf di sekitar Chow Kit, mereka berdua akhirnya berasa terpanggil untuk menyelamatkan warga di sini.

“Sebenarnya tiada rancangan pun untuk tolong anak-anak di sini, ini semua rancangan daripada  Allah. Abe bukan setakat nak bantu dari segi makan minum sebab itu semua orang boleh buat tapi kita nak titikberatkan tentang kebajikan anak-anak di sini.

“Apabila berada di sini, hati rasa tersentuh dan saya nak masa depan anak-anak ini cerah, sebab itu saya mula menyayangi dan mengasihi anak-anak di sini seperti anak-anak saya sendiri. 

“Alhamdulillah hari ini anak-anak di sini daripada agak liar, saya tekankan bahawa jika kita nak berjaya, adab adalah nombor satu, apabila kita ada adab kita ada disiplin, jika ada dua benda ni benda-benda lain akan datang dan kita harap anak-anak  di sini dapat membesar menjadi hamba Allah yang baik. 

“Sebab ini adalah Lorong Haji Taib, tidak terlampau untuk saya cakap bahawa hidup di sini seolah-olah ibarat macam tiada dosa, sedangkan Allah itu berada di mana-mana, jadi membuat dosa di sini seolah-olah sudah tiada apa-apa, jadi ini yang perlu dididik rohani kepada anak-anak di sini supaya tidak terlibat dengan gejala-gejala negatif yang ada di sini,” katanya kepada The Malaysia Press.

Abe Hae bersama Pertubuhan Jejak Jalanan telah menjalankan pelbagai misi menyelamatkan golongan asnaf dan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur dan di beberapa negeri dengan berkongsi rezeki dari segi makanan dan barangan keperluan asas termasuk menyediakan tempat tinggal kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Tiada orang nak duduk sini (lorong) sebenarnya, sekiranya ada peluang, memang meraka nak keluar sebab dorang dan tidak mahu anak-anak mereka tercemar dengan persekitaran di sini.

“Sekiranya anak-anak ini dilatih untuk mengemis, mereka akan hidup dalam minda separa sedar di mana kerja aku hanya mengemis dan selamanya akan mengemis,” ini tidak bagus kerana anak-anak ini adalah aset negara, Abe di sini kena memimpin mereka untuk menjadi anak-anak yang bagus.

“Apa yang Abe lakukan masih lagi di peringkat awal, Abe baru empat tahun, jadi waktu Abe tolong, anak-anak ini kecil lagi dan ada juga di sini ibu yang memperdagangkan tubuhnya, jadi anak-anak menjadi saksi perbuatan itu, menunggu di lot bawah rumah sementara ibu melakukan ‘pekerjaannya’, pukul 4, 5 pagi baru dapat tidur, seolah-olah tiada siang dan malam. Anak pula, anak perempuan, kita khuatir ia akan menjadi ikutan dan dianggap normal,” katanya.

Selain berkongsi rezeki, pada 2024, Pertubuhan Jejak Jalanan juga telah berjaya menubuhkan Rumah Ilmu dan Pusat Transit dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang terletak di Pintu 34, Lorong Haji Taib 3 dan dibuka pada setiap hari Selasa dan Rabu memuatkan 40 orang anak-anak lorong berusia 7 hingga 18 tahun yang mahu belajar mengaji dan mengulangkaji pelajaran.

Bercerita mengenai sebab utama mahu menolong anak-anak di sini, Abe Hae percaya bahawa hanya pendidikan dan akhlak yang baik sahaja mampu membebaskan anak-anak lorong daripada kancah maksiat.

“Fokus utama, untuk luaskan liang lahad Abe juga sebab kita semua nak mati jadi Abe rasa terpanggil untuk menjadi ‘father figure’ untuk anak-anak disini, supaya mereka melihat bagaimana sikap dan sifat seorang ayah yang sepatutnya, sebab Abe nak anak-anak ini berjaya sepertimana anak-anak Abe berjaya, jadi abe nak mendidik mereka supaya berjaya.

“Sebab Abe tidak yakin dengan didikan sesetengah ibu bapa mereka di sini, jadi Abe kena ambil alih tugas sebagai seorang ayah untuk mereka lihat, inilah seorang ayah yang harus dicontohi, jadi sebab itu Abe sentiasa ada di sini untuk memberi kasih sayang, hanya dengan kasih sayang, kita dapat bawa anak-anak di sini keluar daripada kemiskinan kerana kemiskinan itu bukan sesuatu yang boleh diwarisi jadi Abe cuba putuskan rantaian ini.

“Insya-Allah usaha Abe ini mengambil masa, selagi hayat dikandung badan, Abe mahu melihat anak-anak di sini beroleh kejayaan dalam masa 15, 20 tahun lagi, kita dapat melihat kejayaan anak-anak ini dan tiada benda lain dalam hidup Abe, saya nak lihat Lorong Haji Taib ini berubah dan sekiranya mereka berjaya walaupun sebahagian kecilnya sahaja menjadi macam Abe (aktivis) membentuk generasi lain juga di lorong,” ujarnya.

Menurut seorang aktivis PJJ, yang mahu dikenali sebagai Abang Agil, 44, harapannya hanya satu iaitu tidak mahu lagi anak-anak di sini digelar sebagai anak-anak lorong, biarlah gelaran itu terhenti kepada ibu bapa mereka sahaja.

“Pertubuhan Jejak Jalanan ini berbeza kerana ia menumpukan kepada pembentukan akhlak anak-anak lorong. Sebagaimana kata-kata pengasas kami, kami tidak mahu lagi anak-anak ini digelar anak lorong, biarlah gelaran itu terhenti kepada ibu bapa mereka sahaja.

“Nak melentur buluh, biarlah daripada rebungnya, kalau ibu mereka sudah tak mampu dilentur, biarlah anak-anak mereka berjaya.

“Kepada anak-anak di sini, jadilah manusia yang bagus, berpelajaran, dapat ubah kehidupan mak ayah mereka dan keluarlah daripada tempat ini, lorong gelap sini, jangan ingat untuk kembali lagi ke sini,” katanya.

Related Posts

10 tapak Bazar Ramadan 2026 bakal beroperasi di Padawan

KUCHING – Sebanyak 10 tapak Bazar Ramadan akan beroperasi dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Padawan (MPP) bagi tahun 2026, melibatkan penyertaan penganjur daripada pihak komuniti dan sektor swasta. Pengerusi MPP,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Apabila seorang anak sudah bersedia, mengapa kita perlu menahannya?

PAGI itu, seorang ibu berdiri di hadapan pintu sekolah rendah dengan tangan anaknya digenggam erat. Anak itu baru berusia 6 tahun. Wajahnya tidak gentar. Beg galasnya kemas, matanya bercahaya, dan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

TCCS Marine sasar lahir tenaga maritim profesional

TCCS Marine sasar lahir tenaga maritim profesional

TCCS Marine pacu ekosistem latihan maritim negara

TCCS Marine pacu ekosistem latihan maritim negara

10 tapak Bazar Ramadan 2026 bakal beroperasi di Padawan

10 tapak Bazar Ramadan 2026 bakal beroperasi di Padawan

Apabila seorang anak sudah bersedia, mengapa kita perlu menahannya?

Apabila seorang anak sudah bersedia, mengapa kita perlu menahannya?

Lelaki ada 9 rekod jenayah positif dadah dicekup

Lelaki ada 9 rekod jenayah positif dadah dicekup

Penggunaan AV Pos Malaysia tingkat kecekapan, bukan singkir pekerja – Fahmi

Penggunaan AV Pos Malaysia tingkat kecekapan, bukan singkir pekerja – Fahmi