
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memanfaatkan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Kremlin untuk membangkitkan secara langsung keputusan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) berhubung insiden pesawat MH17.
Menurut Anwar, ruang perbincangan ini penting bagi mendapatkan gambaran dan penjelasan terus daripada kerajaan Rusia berkaitan isu yang menyentuh hati rakyat Malaysia
“Ini merupakan ruang penting untuk kita mendapatkan penjelasan terus daripada kerajaan Rusia mengenai keputusan ICAO.
“Malaysia kekal dengan pendirian bahawa kebenaran dan keadilan harus terus diperjuangkan dengan menuntut kerjasama semua pihak dalam memastikan siasatan serta proses yang bebas dan adil,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Perdana Menteri turut menyatakan bahawa Malaysia bersuara demi memastikan nasib mangsa serta keluarga mereka yang terkesan diberi perhatian sewajarnya.
“Malaysia akan terus bersuara secara berprinsip dan tegas demi memastikan keadilan buat mangsa dan keluarga mereka yang terkesan dengan insiden pilu ini,” ujarnya.
Pada Isnin lalu, ICAO yang merupakan badan penerbangan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab dalam insiden yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat tersebut.
Menurut laporan itu, ICAO akan mempertimbang bentuk pampasan yang sesuai dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Anwar tiba di Moscow untuk lawatan rasmi empat hari bermula 13 Mei dan beliau akan meneruskan segmen kedua lawatan dengan berkunjung ke Kazan, Tatarstan pada 15 Mei.




