
PUTATAN – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah digesa terus fokus membantu rakyat secara berterusan, bukan hanya menjelang pilihan raya.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, perkara yang perlu ditumpukan oleh PKR Sabah ialah menjadi anggota komponen kerajaan negeri, wakil rakyat dan pimpinan setempat yang baik.
“Arahan yang saya berikan kepada jentera kita di sini ialah untuk menguatkan kehadiran dan khidmat kita kepada rakyat di bawah tak kisahlah bila pilihan rayanya, siapa dan bagaimana.
“Yang penting ialah sebagai anggota utama dalam Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, PKR sebagai sebuah parti di Sabah mesti memainkan peranan yang jauh lebih baik dalam usaha untuk membantu rakyat,” katanya ketika ditemui selepas penutupan Konvensyen KEMAS16 dan POP25 di sini, pada Sabtu.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, proses rundingan PKR untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan terus dibincangkan dalam kerangka semangat Kerajaan Perpaduan.
“Saya ingat perkara ini akan terus dibincangkan dalam kerangka semangat Kerajaan Perpaduan memandangkan Kerajaan Perpaduan ini ada Majlis Kerajaan Perpaduan.
“Urusan bagaimana komposisi gabungan masuk pilihan raya itu sudah tentu akan tertakluk kepada pertimbangan yang dirundingkan dan diputuskan di peringkat majlis, di peringkat Persekutuan nanti,” jelasnya.






