
PUTATAN – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menolak pandangan sesetengah pihak yang berkata hanya parti tempatan sahaja perlu bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, pihaknya sentiasa menghormati setiap pandangan yang dikemukakan oleh mana-mana pihak.
“Kita hormati pandangan masing-masing bagi parti yang ada pandangan contohnya perlu hanya parti tempatan yang bertanding di sini.
“Sementara saya hormati pandangan itu saya juga ingat ramai juga daripada kalangan penduduk Sabah yang menyedari bahawa usaha membawa kesejahteraan di Sabah ini adalah tanggungjawab bersama di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Kaedah yang paling baik sebenarnya ialah kalau ada persefahaman dan semangat saling menghormati bahawa ini tanggungjawab bersama yang perlu bergerak seiringan itu pandangan saya dan pandangan PKR.
“Jadi pandangan itu ada betulnya, sama juga pandangan yang berlainan itu saya pasti ada asas mereka masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas Konvensyen KEMAS16 dan POP25 di sebuah Hotel di sini, pada Sabtu.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.
Sementara itu, beliau menasihati PKR Sabah agar tidak membiarkan rakyat sebaliknya memperhebatkan khidmat dalam aktiviti membantu.
“Kepada PKR Sabah nasihat saya ialah sementara kita ada pandangan masing-masing ini, kita tak boleh biarkan rakyat terkontang-kanting tetapi membantu mana yang perlu kita bantu dan perhebatkan khidmat kita, itu sebenarnya tumpuan kita.
Menurut Rafizi, pihaknya tidak terlalu agresif soal pandangan masing-masing kerana akhirnya ia bergantung kepada kebijaksanan rakyat untuk memilih parti memerintah pada PRN depan.
“Pandangan kami sudah tentu ialah perlukan kerjasama dan persefahaman yang kukuh, apapun keputusan rakyat, untuk Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah mesti saling memikul beban yang ada.
“Sebenarnya yang terbaik untuk rakyat Sabah ialah gabungan barulah rakyat ini tidak terkontang-kanting di tengah-tengah dan sementara parti-parti ada pandangan masing-masing,” tambahnya.






