RAMALLAH – Jawatankuasa Menteri Palestin, yang terdiri daripada wakil Kementerian Kebudayaan, Dalam Negeri dan Telekomunikasi mengumumkan penggantungan operasi Rangkaian Media Al Jazeera di Palestin.
Jawatankuasa itu juga mengarahkan penggantungan sementara semua wartawan, kakitangan dan saluran berkaitan yang bergabung dengan Al Jazeera, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Keputusan itu berkuat kuasa sehingga rangkaian berkenaan menyelesaikan status undang-undangnya, yang telah dianggap melanggar undang-undang dan peraturan di Palestin.
Jawatankuasa itu menyatakan bahawa keputusan itu dibuat kerana Al Jazeera berulang kali melanggar undang-undang dan peraturan.
Pihak berkuasa menuduh rangkaian itu menyiarkan kandungan menghasut, menyebarkan maklumat salah dan campur tangan dalam hal ehwal dalaman Palestin, yang mereka dakwa mencetuskan perpecahan dan ketidakstabilan.
Al Jazeera menerusi satu kenyataan menekankan bahawa liputannya mengenai peristiwa di Jenin adalah seimbang, menyediakan platform untuk kedua-dua suara penentangan dan pasukan keselamatan Palestin, lapor Agensi Anadolu.
Tindakan pihak berkuasa Palestin itu mendapat kecaman kumpulan Hamas.








