PAKATAN Harapan (PH) dan UMNO dijangka akan terus membina kekuatan politik sekiranya kerjasama yang terjalin sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dikekalkan pada masa depan.
Pemerhati politik, Raggie Jessy Rithaudeen berkata, sokongan pengundi Cina kepada calon UMNO dalam beberapa pilihan raya kecil kebelakangan ini menunjukkan kestabilan kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) semakin diyakini masyarakat.
“UMNO kini dilihat hampir kembali seperti zaman kegemilangannya dahulu. Walaupun undi Melayu berpecah, UMNO berjaya mengekalkan sokongan tradisi dan dalam masa sama mendapat sokongan tambahan daripada pengundi Cina kerana mereka melihat kestabilan politik dan ekonomi yang dibawa melalui kerjasama PH–BN,” katanya menerusi siaran langsung di YouTube.
Menurut beliau, sokongan masyarakat Cina bukanlah tanda mereka kembali kepada MCA, sebaliknya kerana mereka boleh menerima calon UMNO dalam kerangka kerjasama PH–BN.

“Sejarah membuktikan sejak merdeka lagi, mana-mana parti Melayu yang ingin menubuhkan kerajaan memerlukan sokongan Cina. Tun Dr Mahathir, Tun Hussein Onn, Tun Razak bahkan Najib sekalipun bergantung kepada undi Cina. Hakikat ini berulang semula, kali ini melalui gabungan UMNO dan PH,” katanya.
Raggie turut menjelaskan, DAP juga memahami realiti politik semasa yang memerlukan kerjasama dengan UMNO. Katanya, walaupun suatu ketika dahulu DAP lantang mengkritik UMNO, kini parti itu sanggup menerima UMNO kerana menyedari tanpa gabungan tersebut, PH tidak mampu membentuk kerajaan.
“UMNO kini menjadi penentu siapa yang akan membentuk kerajaan. Selepas PRU16 atau PRU17, UMNO berpotensi muncul sebagai parti paling dominan dalam gabungan kerana kerusi yang dimenangi mungkin lebih banyak berbanding DAP, PKR, Pas, atau Bersatu,” katanya.
Mengulas lebih jauh, beliau berpendapat propaganda bahawa UMNO kini berada di bawah telunjuk DAP tidak berasas kerana realitinya DAP sendiri memerlukan UMNO.
“Ini bukan soal UMNO tunduk pada DAP, tetapi soal keperluan bersama. Hakikatnya, semua pihak perlukan UMNO untuk membentuk kerajaan, sama ada PH mahupun Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Beliau menegaskan, pola undi Cina juga akan berubah secara organik pada masa depan. Pada PRU16, mereka dijangka terus menyokong calon UMNO atau MCA dalam kerangka PH–BN, tetapi menjelang PRU17, sebahagian besar pengundi Cina akan kembali menyokong MCA apabila parti itu dilihat lebih berani bersuara dalam isu-isu nasional.
“Landskap politik negara akan terus berkembang, tetapi yang pasti, UMNO akan kekal sebagai pemain utama. Selagi UMNO dan PH berganding, kekuatan gabungan itu sukar ditandingi,” katanya.



