
MEMBAKUT – Sesi libat urus antara pemimpin masyarakat dan agensi kerajaan disifatkan sebagai platform penting dalam mempercepatkan penyelesaian isu rakyat di peringkat akar umbi.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sesi tersebut menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dalam pembangunan daerah bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKK).
“Hari ini kita mengadakan sesi libat urus antara agensi-agensi kerajaan yang banyak terlibat dalam kemajuan dan pembangunan di daerah-daerah dan bersama dengan JKK.
“Dan hari ini juga saya menyampaikan bantuan projek untuk semua JKK seperti mana sebelum-sebelum inilah,” katanya ketika ditemui media selepas program Sesi Libat Urus Pemimpin Masyarakat Bersama Agensi Kerajaan, di sini pada Rabu.
Menurut Mohd Arifin, sesi itu turut menjadi medium untuk menyalurkan keperluan mendesak rakyat yang dikenal pasti sejak pilihan raya lalu.
“Sesi libat urus ini amat penting dalam mengenal pasti isu serta mencari penyelesaian secara terus dengan agensi berkaitan.
“Saya yakin selepas ini kita boleh merujuk terus kepada pihak perkenaan berhubung dengan isu-isu yang ditimbulkan dan selepas ini juga pengerusi JKK sendiri dapat menjawab apa yang ditimbulkan oleh masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan keperluan kajian berhubung penyelarasan elaun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Daerah (JKDB).
“JKK sudah baru-baru ini diumumkan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan telah direstui di Kabinet Negeri tambahan RM1,000 untuk elaun pengerusi
“Kementerian akan menyediakan kertas cadangan untuk dibawa ke Kabinet Negeri Sabah bagi mendapatkan pertimbangan lanjut,” katanya.
Mohd Arifin yang juga ADUN Membakut berkata, elaun semasa JKDB adalah sekitar RM500 dan berharap ia dapat diselaraskan dengan kadar baharu JKK sebanyak RM1,000.


