SEREMBAN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, menyeru seluruh rakyat negeri ini supaya bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka boleh berlangsung pada bila-bila masa sahaja.
Beliau berkata, situasi politik semasa yang menyaksikan pelbagai kenyataan dan perkembangan mutakhir menuntut kesiapsiagaan semua pihak, khususnya jentera parti dan penyokong PH.
“Saya nak rakyat Negeri Sembilan, penduduk Negeri Sembilan bersiap sedia menghadapi pilihan raya. Mereka tak puas hati lagi.
“Hari ini, kenyataan demi kenyataan mereka keluar. Seolah-olah kita terpaksa menerima. Tetapi kita juga manusia. Saya juga manusia. Saya juga rasa kecewa. Saya juga rasa lemah. Rakan-rakan seperjuangan juga rasa terperanjat.
“Peristiwa yang berlaku awal pagi itu tanpa satu perjelasan yang dimaklumkan kepada rakan-rakan yang lain. Ini merupakan satu perkara di luar perancangan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ketika berucap pada Ceramah Perdana Pimpinan Utama PH di sini, pada Rabu.
Turut sama hadir, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, walaupun berdepan cabaran dan tekanan politik, semua pihak perlu kekal tenang serta tidak bertindak secara terburu-buru.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan mengajak semua ahli parti dan penyokong untuk memperkukuh jentera serta mempererat kerjasama dalam kalangan parti komponen PH, termasuk Amanah, PKR dan DAP.
“Kita mesti bergerak sebagai satu pasukan. Dalam apa jua keadaan, kita perlu bersedia bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Pada masa sama, Aminuddin turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Negeri Sembilan yang terus memberikan sokongan dan doa kepada kepimpinan PH negeri.
“Inilah sokongan yang cukup saya harapkan ketika saya menerima perkabaran bahawa mereka menarik sokongan bukan saja kepada saya, tetapi kepada kerajaan negeri.
“Tetapi alhamdulillah, sehingga hari ini terus memberikan sokongan, memberikan harapan, mendoakan, memastikan bahawa negeri ini terus diurus dengan baik,” ujarnya.
Pada Rabu, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan UMNO di Negeri Sembilan menegaskan mereka kekal hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor berkata, dalam masa sama pihaknya menghormati keputusan pucuk pimpinan yang mengekalkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di negeri itu.



