SEMPORNA – Cubaan tiga lelaki warga Filipina menyeludup keluar 218 tong minyak petrol menggunakan bot laju ke negara jiran berjaya digagalkan Pasukan Gerakan Am Kompeni A Batalion 22 PGA Kunak, pada Selasa.
PGA Kunak menerusi satu kenyataan di Facebook berkata, ketiga-tiga lelaki itu ditahan menerusi Operasi Taring ESSZone yang dijalankan di kawasan perairan utara Pulau Omadal.
“Pemeriksaan ke atas bot yang mencurigakan itu mendapati kesemua lelaki tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan membawa muatan 218 buah tong berisi minyak petrol bersubsidi (masing-masing berisi 25 liter).
“Rampasan dianggarkan RM111,000 dan tangkapan itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Kos Sara Hidup Semporna untuk siasatan lanjut,” kata kenyataan itu, pada Rabu.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.






