MUAR – Seorang pesara guru berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM189,199 ‘hangus’ gara-gara terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa berusia 66 tahun telah tertipu dengan skim pelaburan palsu itu selepas dimasukkan ke dalam satu kumpulan di aplikasi WhatsApp.
“Pada penghujung tahun 2024, pengadu telah dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan di aplikasi WhatsApp mengenai pelaburan menguntungkan.
“Pengadu kemudian telah dihubungi oleh seorang individu melalui aplikasi sama memperkenalkannya dirinya sebagai seorang pelabur dalam skim berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Raiz Mukhliz, mangsa telah diberi penerangan mengenai pelaburan yang bakal dilakukan serta jumlah modal dan keuntungan yang mampu diperolehi iaitu sekitar 6.1 hingga 12.9 peratus.
“Tertarik dengan tawaran diberikan, mangsa kemudian membuat transaksi pemindahan wang sebanyak 23 kali di antara 17 Februari lalu hingga 20 Mac bernilai RM189,199.
“Dia kemudian telah diberikan satu pautan bagi menyemak kadar keuntungan diperolehi. Mangsa mendapati keuntungan diraih ketika itu bernilai RM956,016.84,” katanya.
Bagaimanapun menurut beliau, mangsa diarah untuk membuat bayaran berjumlah RM150,000 terlebih dahulu sekiranya mahu mengeluarkan keuntungan berkenaan.
Tambah Raiz, mangsa yang mulai berasa curiga cuba menghubungi individu tersebut namun gagal sebelum menyedari dirirnya telah menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berhati-hati terutama dalam urusan melibatkan transaksi pembayaran.




