TAWAU – Padah mengugut mencederakan ibunya menggunakan sebilah pisau, seorang lelaki berjaya diberkas di sebuah rumah di Kampung Ranggu, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berumur 35 tahun berkenaan ditahan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Sri Indah sebaik menerima laporan daripada mangsa.
“Semasa kejadian kira-kira pukul 2 petang, suspek dipercayai mengamuk dan mengambil peralatan tajam iaitu pisau sehingga mendatangkan ketakutan kepada mangsa.
“Suspek bertindak agresif dengan mengancam mangsa dan mangsa kemudian tampil di balai polis berhampiran untuk membuat laporan,” katanya dalam kenyataan media, pada Jumaat.
Menurut Jasmin, sebilah pisau berukuran 33 sentimeter disyaki digunakan dalam kejadian itu turut dirampas bagi siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.




