PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan Jualan Rahmah MADANI 2025 tahun ini ditingkatkan sekali ganda lagi menjadi RM600 juta, berbanding yang diumum sebelum ini RM300 juta.
Beliau berkata, peruntukan tambahan itu antaranya akan menambah kekerapan dan memperluas jumlah lokasi di seluruh negara meliputi kesemua 600 Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Selain memperbanyak jenis barangan untuk memberi pilihan yang lebih meluas kepada rakyat.
“Ikhtiar MADANI di peringkat akar umbi akan terus diperhebat, selari dengan penekanan kerajaan sejak tahun lepas agar para pemimpin turun padang dan memberi tumpuan kepada usaha yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat di peringkat komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat pengumuman penghargaan untuk rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri yang turut disiarkan secara langsung di televisyen hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Sejati MADANI dilaksanakan dengan menyalurkan hingga RM100,000 kepada komuniti dan memberi mereka bebas untuk menentukan aktiviti ekonomi yang menjana pendapatan.

“Setakat ini Sejati MADANI berjaya membenih lebih 8,600 kegiatan ekonomi komuniti di peringkat kampung,” kata beliau.
Anwar berkata, Kampung Angkat MADANI juga telah memberi manfaat kepada rakyat di peringkat komuniti iaitu penglibatan daripada 40 kampung kepada 200 kampung tahun ini.
“Kerajaan juga melancarkan Sekolah Angkat MADANI atas rasa tanggungjawab memastikan pendidikan anak-anak pada tahap terbaik.
“Kerajaan menetapkan sasaran untuk mencapai 1,000 sekolah angkat menjelang akhir tahun ini susulan sambutan luar biasa yang diterima terutamanya daripada sektor korporat,” katanya.




