
Oleh: Jasmine AE dan Helda Julie
KUCHING – Pertambahan 17 kerusi baharu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak disifatkan sebagai langkah tepat untuk memperkukuh demokrasi dan memastikan perwakilan rakyat yang lebih adil serta seimbang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang berkata beberapa kawasan bandar seperti Kuching, Miri dan Bintulu kini terlalu padat, sekali gus mewujudkan ketidakseimbangan dalam prinsip ‘satu orang, satu undi’.
“Ketidakseimbangan ini memberi kesan kepada keberkesanan perwakilan. Maka, penambahan kerusi adalah penting demi memastikan suara rakyat di kawasan padat tidak tenggelam,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 dalam Mesyuarat Khas DUN Sarawak pad Isnin.
RUU itu mencadangkan pertambahan kerusi DUN daripada 82 kepada 99 bagi menampung pertumbuhan populasi dan menyokong pembangunan negeri yang semakin pesat.
Billy menegaskan langkah tersebut bukan hanya melibatkan kawasan bandar, tetapi juga memberi keutamaan kepada komuniti luar bandar dan pedalaman agar tidak terpinggir dalam proses pembangunan dan pembuatan dasar.
“Banyak kawasan pilihan raya kini terlalu luas dan berselerak, menyukarkan wakil rakyat untuk menyantuni semua pengundi secara efektif. Penambahan kerusi ini bukan isu politik, tetapi soal keadilan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan,” ujarnya.
Menurutnya, dengan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030, peranan ADUN semakin mencabar, merangkumi pelaksanaan dasar kerajaan, penyelarasan antara agensi dan penyampaian aspirasi rakyat.
“Ini bukan sekadar penyesuaian pentadbiran, sebaliknya bukti komitmen kerajaan negeri terhadap tadbir urus yang telus, inklusif dan berpaksikan rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pertambahan kerusi bukan sahaja menjawab keperluan semasa, malah memperkukuh asas demokrasi Sarawak bagi jangka panjang.
“Saya menyokong penuh rang undang-undang ini dan yakin ia akan membuka ruang kepada perwakilan yang lebih dekat, adil dan berkesan untuk seluruh rakyat Sarawak,” katanya lagi.
Manakala, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus berkata cadangan pertambahan daripada 82 kepada 99 kerusi itu selaras dengan Artikel 14 Perlembagaan Negeri Sarawak dan Artikel 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan semakan semula persempadanan setiap lapan tahun.
“Kali terakhir Sarawak melaksanakan persempadanan ialah pada tahun 2015. Ini bukan satu keistimewaan politik, sebaliknya satu tanggungjawab perlembagaan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 dalam Mesyuarat Khas DUN Sarawak pada Isnin.
Menurutnya, keluasan geografi Sarawak yang mencecah lebih 124,000 kilometer persegi dan taburan penduduk yang berselerak menjadikan tugasan wakil rakyat lebih mencabar, khususnya di kawasan pedalaman yang hanya boleh diakses melalui jalan balak atau laluan air.
“Banyak kawasan luar bandar masih bergantung kepada ADUN untuk menyuarakan keperluan asas. Penambahan kerusi ini penting agar rakyat mendapat perhatian dan perkhidmatan yang lebih dekat dan berkesan,” ujarnya.
John menambah, kerusi baharu yang dicadangkan akan memberi lebih ruang kepada suara komuniti peribumi dan etnik minoriti seperti Bi Bukar, Bi Remun, Lun Bawang, Kenyah, Kelabit dan Penan.
Katanya, penambahan ini juga selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 Sarawak yang memberi tumpuan kepada transformasi luar bandar, keterangkuman ekonomi dan keseimbangan pembangunan wilayah.
“Dengan kerusi tambahan, pengagihan peruntukan seperti Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dapat dilakukan secara lebih efektif berdasarkan pertambahan penduduk serta jumlah pengundi automatik yang semakin meningkat,” katanya.
Beliau turut mengaitkan usaha ini dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 yang menekankan kepentingan perwakilan mencukupi bagi Sabah dan Sarawak dalam mempertahankan hak dan autonomi dalam Persekutuan Malaysia.
“Peningkatan ini bukan sekadar soal bilangan kerusi, tetapi satu pengiktirafan terhadap kedaulatan dan kemampuan Sarawak mentadbir wilayahnya sendiri,” tegasnya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar persempadanan baharu tidak memecahbelahkan etnik atau subetnik, sebaliknya menyatupadukan rakyat demi kemajuan bersama.
“Saya menyokong penuh rang undang-undang ini,” katanya sebelum menamatkan perbahasan.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)







