
TAWAU – Persiapan Program MADANI Rakyat (PMR) Sabah 2025 yang akan membuka tirai di Dataran Majlis Perbandaran Tawau (MPT) esok bakal memberi manfaat kepada warga Pantai Timur.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, lebih 200 reruai kementerian dan keusahawanan akan menawarkan perkhidmatan dan produk sepanjang program tiga hari program terbabit.
“Setakat tinjauan saya ini, saya sangat berpuas hati dengan persiapan yang telah dilaksanakan oleh semua kementerian dan jabatan yang mengambil bahagian.
“Saya amat yakin PMR kali ini dapat memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia di Sabah terutamanya di bahagian pantai timur di Tawau dan daerah-daerah yang bersempadan.
“Dengan persiapan rapi ini, kita mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pengunjung bermula pagi esok” katanya kepada media selepas melakukan tinjauan persiapan akhir PMR Sabah 2025 di Dataran MPT, pada Khamis.

Bertemakan ‘Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawan’, perasmian program PMR Sabah 2025 selama tiga hari akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, petang Ahad.
Selain reruai agensi, turut diadakan jualan MADANI, pameran aset empat agensi dan reruai bagi majikan yang menawarkan lebih 600 kekosongan jawatan.