PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia sudah mengadakan perbincangan lanjut berhubung ketegangan yang tercetus antara Thailand dan Kemboja.
Perdana Menteri berkata, perbincangan itu berlangsung pada Khamis dengan pemimpin kedua-dua negara.
“Saya bincang dengan Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Kemboja, kedua-duanya,” kata, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sidang Kemuncak Halal Global 2025 dan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet mendakwa tentera Thailand menghalang lebih 20 keluarga kembali ke rumah mereka di kawasan sempadan yang dipertikai, seperti dinyatakan dalam suratnya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Jurucakap tentera Thailand, Winthai Suvaree pula mendakwa penduduk Kemboja itu terbabit dalam insiden keganasan dan mencetuskan kekecohan dengan sengaja, selain bertindak menduduki wilayah Thailand secara haram.
Thailand dan Kemboja mencapai persetujuan melaksanakan gencatan senjata pada Julai lalu, selepas pertempuran yang berlaku antara kedua-dua negara mengorbankan 33 nyawa.







