
KEGOYAHAN yanng melanda Perikatan Nasional (PN) berikutan perselisihan faham antara Pas dan Bersatu akibat masalah dalam yang dialami oleh mereka kerana hanya berstatus pembangkang dan tidak memegang posisi sebagai kerajaan.
Beberapa isu dalaman yang dihadapi antaranya pertikaian berterusan dalam PN, seperti pemecatan wakil Bersatu dalam rombakan Exco Perlis baru-baru ini.
Selain itu, mengenai isu siapa lebih layak dinamakan sebagai calon Perdana Menteri mewakili komponen itu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu seolah-olah menyindir Pas agar tidak gelojoh dan tidak membesar-besarkan perkara itu yang turut disokong oleh Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau.
Namun, kenyataan itu disanggah oleh Pemuda Pas mempersoal tindakan beberapa pimpinan parti komponen dalam PN yang disifatkan ‘gelojoh’ kerana terlalu awal mencadangkan calon Perdana Menteri mewakili gabungan itu.
Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, berpendapat, permasalahan timbul antara mereka kerana posisi mereka tidak lagi menjadi kerana dan ketiadaan peruntukan untuk berkhidmat kepada rakyat ketika ini.
“Sebenarnya kita lihat antara Pas dan Bersatu ini ada perbezaan pandangan sejak akhir-akhir ini mungkin disebabkan oleh situasi semasa kerana sekarang dah jadi pembangkang.
“Sebagai pembangkang ini mereka akan serba kekurangan, bila menjadi kerajaan mereka ada peluang untuk mendekati rakyat, membuat program bersama rakyat.
“Apabila menjadi pembangkang, mereka tidak mempunyai akses dan bajet untuk bertemu dengan rakyat. Jadi dari perkara ini timbul percanggahan pendapat,” katanya kepada The Malaysia Press pada Khamis.
Dalam pada itu, Mazlan berkata, Pas mempunyai lebih banyak kerusi di Parlimen daripada Bersatu dan mereka mempunyai hak untuk mengetengahkan calon daripada parti mereka.
Justeru, beliau berkata, sekiranya kedua-dua belah parti ini tidak menguruskan konflik dengan sebaik-baiknya, tidak mustahil PN akan dilanda badai yang berterusan.
“Lagi pun Pas adalah parti yang kuat di Parlimen. Mereka tidak boleh selamanya menjadi pengikut sahaja. Kenyataan Faizal Azumu mengatakan jangan fikirkan orang lain selain Tan Sri Muhyiddin menyebabkan percanggahan pendapat antara mereka.
“Pas kata tidak boleh begitu, sebab Mursyidul Am kata belum diputuskan siapa ‘poster boy’ atau calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
“Ini menunjukkan Pas juga ada hasrat untuk mengetengahkan calon. Sekiranya Pas dan Bersatu tidak menguruskan konflik ini ada kemungkinan tidak mustahil untuk berlaku keretakan dalam PN,” ujarnya.




