
GUA MUSANG – Proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Asap, dekat sini, sedikit kecoh membabitkan penyokong kedua-dua parti.
Insiden berlaku jam 9.50 pagi itu menyebabkan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo terpaksa menyuraikan keadaan.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila penyokong kedua-dua parti cuba meraih undi di hadapan pusat mengundi yang menjadi laluan orang ramai.
Pada awalnya polis sudah meminta mereka beredar namun tidak diendahkan oleh penyokong parti.
Tindakan itu juga menyebabkan berlaku kesesakan lalu-lintas sebelum insiden itu dapat dileraikan selepas masing-masing diminta beredar ke khemah mereka.