KUCHING – Kementerian Dalam Menterian (KDN) membentang laporan terkini berkenaan isu pengenalan diri rakyat Sarawak selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, laporan tersebut merangkumi kemajuan dan pencapaian Jawatankuasa Unit Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan oleh KDN dengan kerjasama kerajaan Sarawak.
“KDN dan Kerajaan Sarawak mewujudkan jawatankuasa tersebut yang dipengerusi bersama oleh Premier Sarawak dan saya sendiri,” ujar beliau.
Tambah beliau, jawatankuasa itu turut terdiri daripada dua peringkat iaitu jawatankuasa induk dan jawatankuasa yang turut dianggotai Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.
“Kita sudah mulakan usaha ini sejak tahun lepas dan membentangkan hasil berkenaan dokumen pengenalan diri yang diterima dan jumlah yang sedang diproses dan bilangan permohonan yang masih belum selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia pada Jumaat.
Pada masa yang sama, beliau turut memberitahu penubuhan jawatankuasa tersebut memudahkan akses ke kawasan pedalaman Sarawak dengan lebih efisien.
“Data yang dikumpulkan oleh kerajaan Sarawak memberikan panduan jelas berkenaan lokasi dan keperluan kawasan terpencil, membolehkan pengurusan permohonan dokumen pengenalan diri dilakukan dengan lebih sistematik,” katanya.
Tambah beliau lagi, kerajaan Sarawak turut menyediakan sokongan logistik termasuk menyediakan helikopter untuk membawa beberapa lokasi yang terpencil.
“Komitmen kami memastikan proses permohonan dilaksanakan dengan legitimasi dan autoriti mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” jelas beliau lagi.







