
KUCHING – Upacara menyalakan lampu hiasan sempena Tahun Baharu Cina 2026 di mercu tanda Kucing Putih, Padungan terus menjadi lambang solidariti rakyat Sarawak dalam meraikan perbezaan budaya dengan penuh harmoni.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kemeriahan musim perayaan di negeri ini dikongsi oleh seluruh rakyat berbilang kaum dan bukannya tertumpu kepada komuniti yang menyambutnya sahaja.
Jelas beliau, inisiatif menghiasi tugu tersebut setiap kali menjelang Tahun Baharu Cina membuktikan keterbukaan dan semangat inklusif yang diamalkan di Sarawak.
“Setiap kali tiba musim perayaan, tugu ikonik ini akan bertukar wajah dengan busana baharu. Inilah cerminan identiti Sarawak, di mana kegembiraan sesuatu perayaan itu dirasai bersama oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis tersebut di Padungan pada Khamis malam.
Ujar Dr Sim lagi, semangat kebersamaan ini bertepatan dengan status Kuching sebagai Bandar Raya Perpaduan dan Bandar Raya Keharmonian, sekali gus menuntut kerjasama semua pihak untuk terus memelihara kesejahteraan yang dikecapi.
Tambahnya, suasana perayaan juga penting bagi menyambut kepulangan anak jati Sarawak dari perantauan agar mereka merasai kehangatan dan keselesaan berada di tanah air sendiri.
“Kita mahu anak-anak Sarawak yang pulang berasa dialu-alukan dan merasai suasana kekeluargaan di negeri sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Sim turut memaklumkan bahawa Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Kerajaan Sarawak dijadualkan berlangsung pada hari pertama sambutan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Majlis itu nanti akan dimeriahkan dengan persembahan anak seni tempatan, selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menekankan pembangunan inklusif serta pemerkasaan seni budaya.
“Ini adalah manifestasi kepada nilai kemakmuran dan kelestarian yang menjadi tunjang kemajuan Sarawak,” jelasnya.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng memberitahu, hiasan Kucing Putih tahun ini bertemakan Tahun Kuda yang membawa mesej kejayaan, kepantasan, dan kemajuan.
Menurutnya, reka bentuk hiasan turut menyelitkan aspirasi pembangunan negeri, termasuk elemen sistem Pengangkutan Aliran Autonomi (ART).
“Secara simboliknya, kucing ini dipaparkan sebagai pemandu dengan landasan di hadapannya, menggambarkan pergerakan progresif dan hala tuju pembangunan Sarawak,” katanya kepada pemberita.
Hong Seng turut menyatakan komitmen penuh MBKS dalam menyokong visi kerajaan negeri dan menyeru masyarakat agar memberikan maklum balas yang membina demi kebaikan bersama.
“Berilah peluang untuk sesuatu perancangan itu dijayakan. Sekiranya ada cadangan, suarakanlah secara konstruktif supaya kita boleh menambah baik usaha tersebut,” katanya.
Menyentuh aspek dekorasi, beliau berkata elemen kelestarian turut diterapkan menerusi penggunaan bahan kitar semula seperti tayar serta sumbangan tanglung daripada penduduk, yang membuktikan sokongan padu warga kota terhadap pentadbiran MBKS.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)







