
KUCHING – Program Rakan UKAS–JaPen Komuniti Malam Segulai Sejalai 2025 yang diadakan di pekarangan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sarawak malam ini menjadi bukti keakraban hubungan antara media, agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, sekali gus memperkukuh semangat patriotisme menjelang sambutan Bulan Kebangsaan.
Majlis santai itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol menegaskan peranan media baik arus perdana mahupun digital amat penting dalam menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat.
Menurut beliau, agensi di bawah Kementerian Komunikasi (KKOM) dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) perlu berganding bahu dalam memperkukuh naratif positif, sekali gus menangkis kekeliruan yang timbul akibat penyebaran maklumat tidak sahih di media sosial.
“Media bukan sekadar melaporkan berita, tetapi turut bertanggungjawab menjelaskan fakta sebenar apabila berlaku kekeliruan. Peranan ini amat penting demi menjaga keharmonian rakyat, lebih-lebih lagi di Sarawak yang terkenal dengan perpaduan rakyatnya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan etika kewartawanan perlu dipelihara bagi mengelakkan sentimen kebencian yang tidak sihat, terutama menjelang sambutan kemerdekaan.
Mengulas isu bendera terbalik yang tular baru-baru ini, Abdullah menyifatkannya sebagai perkara yang menyentuh sensitiviti rakyat kerana Jalur Gemilang adalah simbol maruah negara.
“Bendera adalah lambang rumah kita. Sebagai anak Sarawak dan rakyat Malaysia, saya membesar di bumi ini dengan rasa cinta yang mendalam kepada negara. Kita mahu lebih banyak naratif yang membangkitkan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia, bukannya sentimen yang memecahbelahkan,” tegasnya.
Majlis malam ini turut memberi penghargaan kepada warga media yang jarang diraikan walaupun memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi masyarakat.
Pelbagai aktiviti santai diadakan, termasuk sukan dan cabutan bertuah bagi mengeratkan silaturahim.
Beliau turut menyentuh kejayaan Sarawak dalam pelbagai inisiatif tenaga boleh diperbaharui, selain mengucapkan tahniah kepada JaPen dan semua agensi di bawah K-KOM atas kejayaan melancarkan Minggu Kebangsaan yang penuh dengan program bermanfaat di seluruh negeri, termasuk di Sarikei.
“Kita mesti sehati sejiwa dalam membina naratif negara iaitu mengangkat yang positif, menangkis yang negatif demi sebuah Malaysia yang bersatu padu,” katanya.





