JERANTUT – Pesta Bola Merdeka (Tertutup) Peringkat FELDA Jengka 8, dekat sini, menjadi aktiviti tahunan dalam meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
Pertandingan itu membabitkan pemain daripada pasukan menggabungkan generasi muda dan veteran dari tanah rancangan itu.
Pengerusi Gabungan Masjid FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, penganjuran pesta bola itu juga menunjukkan semangat kerjasama baik daripada semua pihak.
![]()
“Program ini bermula jam 8 pagi dan sebanyak enam pasukan menyertai kejohanan tertutup ini.
“Setiap pasukan wajib menurunkan gabungan pemain veteran berusia 50 tahun ke atas serta pemain muda berusia 12 hingga 15 tahun.
“Ini bertujuan memupuk kerjasama antara generasi dalam suasana penuh semangat kesukanan,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut.
Hadir sama memeriahkan program itu adalah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jerantut, Mohd Izzat Ilzam Rosidi dan Pengerusi JPKK FELDA Jengka 8, Saharin Othman.
Razak berkata, selain mengisi sambutan bulan kemerdekaan, penganjuran program itu juga menyuburkan budaya hidup sihat.





