
SARATOK – Seorang kru kapal warganegara Myanmar dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Krian berhampiran Wharf Batu, pekan Saratok, dalam kejadian sekitar jam 9.30 pada Jumaat.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok pada jam 10.43 pagi, sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.
Seramai tujuh anggota penyelamat diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Yusop Jenamin dikerahkan ke lokasi kejadian.
Mangsa dikenali sebagai Thu Htoo Aung, 20, kru kapal Moi Soon 2 yang ketika itu sedang berlabuh dan dipercayai terjatuh ke sungai sebelum hilang daripada pandangan.
“Sebaik tiba di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapatkan maklumat lengkap daripada kru kapal bagi membantu pencarian,” menurut kenyataan JBPM Sarawak.
Mangsa dilaporkan hanya memakai seluar panjang coklat dan kasut getah pendek tanpa berbaju ketika kejadian. Usaha pencarian awal oleh kru kapal gagal menemui mangsa.
Satu laporan polis telah dibuat di IPD Saratok. Operasi SAR kini sedang giat dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi mengesan mangsa secepat mungkin.
Foto: PGO JBPM Sarawak





