PUTRAJAYA – Siasatan dalaman secara terperinci sedang dilaksanakan oleh Universiti Malaya (UM) berhubung dakwaan di media sosial seorang pensyarah kanan di institusi itu mempunyai kaitan dengan gerakan Freemason.
Universiti Awam (UA) itu memaklumkan, pihaknya menyedari dakwaan berkenaan dan telah memulakan siasatan bagi mendapatkan pemahaman menyeluruh mengenai perkara itu.
Katanya, siasatan akan dijalankan secara adil, telus dan mengikut undang-undang serta peraturan dan tatacara universiti.
“Orang ramai dinasihatkan supaya membenarkan proses siasatan berjalan tanpa gangguan dan mengelakkan spekulasi atau penyebaran maklumat yang tidak disahkan.
“Ini bagi melindungi integriti siasatan serta privasi semua pihak yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan, pada Khamis.
UM juga menegaskan komitmen untuk memastikan perkara berkenaan ditangani secara profesional, beretika dan bertanggungjawab.
“Perkara terbabit adalah selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik,” katanya.
Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial mendakwa pensyarah berkenaan dan isterinya mempunyai kaitan dengan sebuah cawangan Freemason di luar negara.
Hantaran berkenaan menggambarkan pertubuhan itu sebagai tidak berlandaskan Islam dan mempersoalkan keputusan universiti melantik pensyarah berkenaan.
Freemasonry adalah sebuah pertubuhan persaudaraan berusia ratusan tahun yang berasal dari Eropah sekitar abad ke-16 hingga 18 dan terkenal dengan mesyuarat tertutup, ritual serta penekanan terhadap nilai moral dan kerja kebajikan.







