
TAWAU – Setiap penjawat awam disaran sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan, menyesuaikan diri dengan perubahan dalam kaedah komunikasi dan peka terhadap isu-isu semasa yang mempengaruhi pemikiran dan sentimen masyarakat.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop berkata, perkara ini penting dalam memelihara keutuhan hubungan antara kerajaan dan rakyat selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan dan saling menghormati.
“Melalui tindakan yang tepat dan pantas, keyakinan rakyat dapat terus diperkukuh, sekali gus mengelakkan berlakunya salah faham yang boleh mencalar kewibawaan pentadbiran serta menjejaskan kestabilan sosial yang sedang dibina berasaskan prinsip keterangkuman dan kesejahteraan bersama.
“Oleh itu, penjawat awam menjadi peneraju kepada kemajuan negara serta memainkan peranan sebagai penggerak utama dalam membentuk sebuah negara bangsa yang merdeka, berdaulat, bermaruah dan bertamadun,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program MADANI Rakyat bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Dewan Masyarakat Tawau, pada Ahad.

Menurut Ismail, peranan penjawat awam dalam pembinaan negara bangsa sangat penting khususnya dalam menjayakan agenda pembangunan berteraskan prinsip Malaysia MADANI.
“Sebagai pelaksana dasar kerajaan, penjawat awam perlu menjalankan tanggungjawab dengan berintegriti dan cekap tanpa dipengaruhi oleh sebarang anasir luar.
“Penjawat awam inilah menjadi peneraju kepada kemajuan negara serta memainkan peranan sebagai penggerak utama dalam membentuk sebuah negara bangsa yang merdeka, berdaulat, bermaruah dan bertamadun,” katanya.
Seramai 800 penjawat awam Persekutuan dan Negeri hadir dalam program itu yang turut di isi dengan forum ‘Etika dan Akauntabiliti Penjawat Awam: Tulang Belakang Malaysia MADANI’.





