KUALA LUMPUR – Tiada sebarang perbincangan dilaksanakan Kerajaan MADANI menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) untuk mengurangkan kuota Budi Madani RON95 (BUDI95).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, fokus utama kerajaan ketika ini adalah memastikan mekanisme subsidi sedia ada terus berfungsi bagi melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup, khususnya dalam keadaan ketidaktentuan harga global.
Menurut beliau, kerajaan ketika ini memberi tumpuan kepada langkah-langkah mitigasi termasuk penambahbaikan mekanisme subsidi diesel yang sedang dilaksanakan mengikut kaedah seperti BUDI.
“Setakat ini tidak ada perbincangan mengenai apa-apa pengurangan kuota BUDI95. Kita sedang fokus kepada pelaksanaan dan penambahbaikan kaedah pengurusan subsidi supaya lebih bersasar dan mengurangkan ketirisan.
“Antara cabaran utama ketika ini adalah jurang besar antara harga pasaran dan harga diesel bersubsidi yang membuka ruang kepada aktiviti penyeludupan serta ketirisan subsidi.
“Apabila berlaku jurang yang ketara antara harga pasaran dengan harga bersubsidi, maka aktiviti seperti penyeludupan dan ketirisan berlaku dengan lebih ketara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri pelancaran laporan Malaysia Economic Monitor ‘Raising the Ceiling, Raising the Floor: The Jobs Agenda as a Productivity Agenda’ di Asia School of Business, pada Khamis.
Akmal Nasrullah berkata, sebarang perubahan dasar berkaitan subsidi bahan api akan diumumkan secara jelas oleh kerajaan apabila keputusan dimuktamadkan.
“Bila keputusan dibuat, kita akan umum secara jelas. Buat masa ini, fokus adalah kepada pelaksanaan dan penambahbaikan sistem sedia ada.
“Pendekatan subsidi ketika ini perlu mengambil kira keseimbangan antara menjaga kebajikan rakyat dan memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan, terutama dalam keadaan tekanan harga tenaga global,” katanya.
Sebelum ini, kuota BUDI95 dilapor berpotensi dikurangkan kepada 150 liter sejajar usaha kerajaan untuk memastikan keterjaminan bekalan bahan api domestik dalam berdepan krisis bekalan global susulan konflik Asia Barat.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, walaupun tiada garis masa ditetapkan bagi pelaksanaan pengurangan, langkah itu boleh dipertimbangkan kerana BUDI95 mempunyai keupayaan menyediakan data penggunaan secara terperinci.
Mengenai Dashboard Pemantauan Krisis Bekalan Global, Akmal Nasrullah berkata, pengenalan dashboard itu adalah untuk meningkatkan ketelusan maklumat kepada rakyat berkaitan situasi bekalan dan harga semasa.
Menurutnya, platform berkenaan akan membolehkan masyarakat mengikuti perkembangan krisis bekalan global secara lebih terbuka dan interaktif, termasuk membuat perbandingan situasi sepanjang tempoh krisis.
Katanya, dashboard itu juga bertujuan membantu rakyat memahami kesan krisis global terhadap ekonomi domestik, khususnya membabitkan inflasi dan kos sara hidup.
“Berdasarkan unjuran global, kadar inflasi dunia pada 2026 dijangka mencecah 4.4 peratus, namun Malaysia setakat Mac lalu masih berjaya mengekalkan inflasi pada kadar 1.7 peratus.
“Kerajaan menyasarkan kadar inflasi negara kekal dalam julat 1.5 hingga 2.5 peratus tahun ini,” katanya.
Melalui dashboard berkenaan, orang ramai juga dapat memantau trend harga dan bekalan secara lebih langsung, manakala kerajaan mempunyai akses kepada data lebih terperinci bagi membantu proses membuat keputusan dasar ekonomi dan bekalan negara.






