
SARATOK – Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok berjaya menyelesaikan satu kes kecurian motosikal selepas menahan seorang lelaki tempatan dalam serbuan di Kampung Sungai Endot, Kabong, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek lelaki Melayu berusia 27 tahun itu ditahan pada 13 Mei 2026 hasil risikan dan operasi yang dijalankan pegawai serta anggota BSJD Saratok.
Menurut beliau, tangkapan dibuat susulan laporan polis diterima daripada seorang pemandu lori berusia 31 tahun berhubung kehilangan motosikal jenis Honda C100 bernombor pendaftaran QRB 4320 di Kampung Nyabor, Kabong pada 4 Mei lalu.
“Siasatan mendapati mangsa kali terakhir menggunakan motosikal tersebut pada 2 Mei sebelum menyedari kenderaan itu hilang dari parkir tepi rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hasil tangkapan membawa kepada penemuan dan rampasan beberapa komponen motosikal dipercayai milik pengadu termasuk rangka dan enjin motosikal, selain peralatan digunakan untuk meleraikan komponen kenderaan tersebut.
Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, selain mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.
Siasatan lanjut turut mendapati suspek mengaku mencuri motosikal berkenaan sebelum meleraikan beberapa komponennya untuk dijual bagi mendapatkan wang membeli bekalan dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan suspek kini ditahan bagi tindakan lanjut.




