
PUTRAJAYA – Keputusan Kabinet yang bersetuju memisahkan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya disifatkan sebagai langkah penting dalam agenda reformasi undang-undang di Malaysia.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berpandangan, tindakan tersebut sebagai antara tuntutan utama dalam agenda reformasi undang-undang yang diperjuangkan Kerajaan MADANI ketika ini.
“Sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang, anggota ‘backbencher’ kerajaan, saya menyokong penuh dan mengalu-alukan keputusan Kabinet semalam yang bersetuju melaksanakan pengasingan sepenuhnya peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
“Saya menganggap keputusan ini memenuhi antara lain tuntutan utama agenda reformasi undang-undang di bawah kerajaan sekarang.
“Saya mengalu-alukan langkah tersebut kerana ia penting untuk memperkukuh institusi negara,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Hassan memaklumkan, pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan bagi membolehkan pemisahan kuasa itu direalisasikan sepenuhnya.

“Saya sebagai seorang peguam juga menyedari beberapa pindaan perlembagaan perlu dilakukan oleh Parlimen.
“Dalam hal ini saya berharap semua pihak sama ada di pihak kerajaan dan pembangkang di Parlimen akan menyokong usaha menjayakan reformasi institusi penting negara Malaysia kita dengan meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu nanti,” ujarnya.
Terdahulu, kerajaan pada Rabu bersetuju secara dasar untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya selepas pertimbangan menyeluruh dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu diambil setelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, membentangkan beberapa model berkaitan pengasingan kuasa berkenaan.
Setelah pertimbangan dibuat, Jemaah Menteri memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan penuh di mana kedua-dua jawatan ini diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan ini diambil selepas meneliti Laporan Akhir dan Hala Tuju yang disediakan oleh Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang dipengerusikan Azalina.
Dalam kenyataan berasingan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas meneliti Laporan Akhir dan Hala Tuju Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang dipengerusikan oleh Azalina.
Sehubungan itu, pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 akan digubal secara berasingan bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang bebas dan berkuasa sendiri.
Dalam pada itu, satu Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) akan digubal secara omnibus untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah serta 18 akta lain yang berkaitan.