PUTRAJAYA – Pengamal media mempunyai hak untuk melindungi kerahsiaan sumber seiring dengan kod etika kewartawanan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, walau bagaimanapun pihak media tetap perlu memberi kerjasama kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan.
“Kalau kita rujuk kod etika kewartawanan yang telah diterbitkan, memang kita beri penegasan bahawa wartawan mempunyai hak kerahsiaan sumber, tidak menjadi masalah. Pada masa yang sama, saya mohon semua (wartawan) berikan kerjasama kepada pihak polis kerana dari segi peraturan, sekiranya ada laporan polis maka pihak polis perlu melakukan siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini.
Semalam, tiga wartawan sebuah portal berita tempatan dipanggil memberi keterangan hari ini berhubung satu laporan berita yang mengaitkan pertukaran kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.
Ketiga-tiga mereka dipanggil bagi dirakam percakapan kira-kira sejam pukul 2.35 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan kes itu.
Namun, beliau menjelaskan bahawa tindakan pihak polis yang memanggil dan merakam percakapan wartawan bukanlah bertentangan dengan hak tersebut, memandangkan polis menjalankan tugas setelah laporan polis mengenai sesuatu itu berita dibuat.
Pada Selasa, sebuah portal berita tempatan melaporkan sumber memaklumkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dipercayai akan dipindahkan ke agensi lain.
Bagaimanapun Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menafikan dakwaan tersebut.
“Saya tegaskan wartawan ada hak untuk buat laporan tetapi berdasarkan undang-undang pihak polis juga berhak untuk menyiasat. Ia bukan satu perkara yang kontradiksi (bertentangan),” katanya.






