TEMERLOH – Kesungguhan anak muda menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan perlu diberi sokongan berterusan.
Pembabitan mereka penganjuran Pasar Anak Muda Temerloh adalah antara contoh menunjukkan bahawa ramai golongan muda berminat dalam aktiviti perniagaan.
Pengerusi Amanah Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata, daya kreatif anak muda di Temerloh juga dapat dilihat dengan pembinaan identiti bagi pasar anak muda itu.
“Mereka berjaya menghidupkan suasana atau ‘vibes’ yang tersendiri… seperti keadaan pasar zaman dahulu kala.
“Jadi kesungguhan dan minat kumpulan anak muda ini perlu diberi sokongan dan galakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Mohd Fadzli turut berkongsi pengalaman mengunjungi pasar itu dan mengakui kagum dengan daya kreatif dimiliki mereka.
“Saya sempat bertemu dengan pengasas atau mereka yang terawal memperkenalkan konsep pasar ala zaman dahulu kala.
“Memang susun atur berbeza dengan pasar malam atau pasar karat yang biasa kita kunjungi.
“Suasana era 70-an dan 80-an begitu ‘hidup’ di pasar anak muda Temerloh,” katanya.
Beliau juga berharap konsep dan pendekatan dimulakan kumpulan anak muda itu dapat diperluaskan ke seluruh negara.




