JERANTUT – Warga peneroka FELDA menaruh harapan tinggi agar harga sawit dapat distabilkan pada kadar antara RM1,200 hingga RM1,500 satu metrik tan sepanjang tahun ini.
Ketika ini, harga sawit berada pada paras sekitar RM800 hingga RM900 satu metrik tan.
Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, kerajaan juga diharap dapat menyalurkan bantuan khas berbentuk duit raya kepada peneroka di 317 tanah rancangan sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam sektor komoditi negara.
“Pada Mac 2024, kerajaan mengumumkan bantuan khas bersasar sebanyak RM300 kepada peneroka FELDA berpendapatan RM1,000 ke bawah, yang disifatkan sebagai langkah meringankan beban golongan berpendapatan rendah.
“Cuma pada 2026, kita harap ia tidak bersasar, sebaliknya diberikan secara menyeluruh kepada semua peneroka FELDA tanpa mengira tahap pendapatan, sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam membangunkan ekonomi negara,” katanya.
Razak berkata, peneroka adalah tulang belakang kepada industri sawit negara, jadi sokongan kerajaan dalam bentuk bantuan kewangan dan kestabilan harga di pasaran begitu penting untuk menjamin kesejahteraan komuniti di tanah rancangan itu.
Beliau menegaskan, kestabilan harga sawit bukan sahaja memberi manfaat kepada peneroka, malah menyumbang kepada kelestarian ekonomi negara kerana komoditi itu adalah antara penyumbang utama eksport Malaysia.







