
Oleh : Uwais Hairi
SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor menutup tirai tahun 2025 dengan pencapaian membanggakan apabila kutipan hasil negeri mencecah RM3 bilion, sekali gus mencatat rekod tertinggi sepanjang sejarah pentadbiran Selangor. Kejayaan tersebut diumumkan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari yang menyifatkannya sebagai hasil komitmen berterusan seluruh jentera kerajaan negeri.
Menurut beliau, pencapaian itu membuktikan keupayaan Selangor mengekalkan pengurusan kewangan yang kukuh dan berdisiplin walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global. Dalam satu kenyataan ringkas, Amirudin turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk bekerja lebih keras demi memastikan Selangor terus maju pada tahun 2026.
Selangor sememangnya dikenali sebagai nadi ekonomi negara, dengan kekuatan dalam sektor perindustrian, perkhidmatan, perdagangan serta pelaburan asing yang konsisten. Faktor-faktor ini menjadi pemacu utama kepada peningkatan hasil negeri dari tahun ke tahun.
Kutipan hasil yang memberangsangkan ini dijangka memberi ruang lebih luas kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan agenda pembangunan rakyat, termasuk memperkukuh program kebajikan, menaik taraf infrastruktur serta memperluas inisiatif kesejahteraan sosial demi manfaat rakyat Selangor secara menyeluruh.
Sumber : Media Selangor







