
LAHAD DATU – Penduduk Tungku memohon agar kerajaan membina sebuah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) bagi mempercepatkan operasi bantuan keselamatan sekiranya berlaku kebakaran dan kecemasan di kawasan itu.
Demikian hasrat seorang belia dari Kampung (Kg.) Telisai Tungku, Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin, 23, bahawa balai bomba amat diperlukan berikutan BBP terhampir mengambil masa lebih 30 minit untuk sampai jika berlaku insiden sekitar Tungku hingga ke Felda Sahabat.
“Kita mengambil iktibar dari kejadian yang berlaku pada baru-baru ini di Kg. Telisai seorang kanak-kanak berumur 8 tahun meninggal dunia rentung dalam kebakaran tersebut.
“Sampai bila kami perlu tunggu? Berapa rumah lagi perlu terbakar? Berapa nyawa lagi perlu melayang?” ujarnya pada Khamis.
Sehubungan itu, Syafiq berharap agar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pelbagai kementerian melihat keperluan lain untuk kemudahan dan keselesaan warga Tungku yang terletak lebih 70 kilometer (km) dari pusat bandar Lahad Datu.
“Saya mohon juga agar Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Yusof Apdal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal P. Alian dapat melihat perkara ini dan bersuara semaksima mungkin kepada pihak kerajaan sama ada pusat atau pun negeri,” tambahnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk di Desa Kencana Felda Sahabat, Sitti Ramniah Baharun, 22, juga menyatakan hasrat sama dan kepentingan pembinaan BBP sama ada di Daerah Kecil Tungku atau kawasan Felda Sahabat.
“Kita ada juga Pasukan Bomba Sukarela Felda Sahabat namun saya percaya dengan BBP yang lengkap dengan peralatan, jenteranya dan kemudahan lain sudah tentu dapat mempercepat kebakaran dipadam dan mengelakkan kejadian tidak diingini seperti kemalangan jiwa berlaku.
“Selain itu ada juga kawasan jauh yang susah diakses dan mengambil masa lebih sejam jika berlaku kecemasan terutama di Tanduo dan Tanjung Labian (jarak lebih 120 km dari bandar Lahad Datu),” jelasnya.







