
JOHOR BAHRU – Sebanyak 537 tin dan botol minuman keras tidak bercukai disimpan di sebuah stor kedai runcit di Masai, Pasir Gudang di sini, dirampas.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, serbuan pada jam 4 petang, kelmarin dijalankan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua itu turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun disyaki berperanan sebagai pembantu kedai.
“Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor menemui 66 karton dan 20 kotak minuman kemas yang disimpan dalam stor dekat belakang kedai runcit berkenaan.
“Keseluruhan nilai rampasan ini dianggarkan sebanyak RM50,000 dan kita sedang menyiasat dari mana bekalan ini diperolehi.
“Kita juga sedang menyiasat sejak bila kegiatan ini dilakukan dan sama ada minuman keras itu hanya disimpan di lokasi itu atau pun untuk dijual di situ,” katanya dalam sidang akhbar dipaparkan secara langsung menerusi laman Facebook rasminya, hari ini.
Tambah Mohd Sohaimi, pihaknya kini mengesan majikan kepada suspek bagi menjalankan siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Suspek kini ditahan reman selama 12 hari bermula semalam hingga 1 September ini. Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.