SARIKEI – Sebanyak 52 cek pampasan tanah berjumlah RM644,995.60 telah diserahkan kepada 51 penerima bagi cadangan Projek Sekolah Kebangsaan Muara Payang Road yang melibatkan kawasan Kampung Bugis, Bukit Huang, dan Muara Payang, di sini.
Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Projek SK Muara Payang di skim Kampung Bugis Huang/Muara Payang Sarikei, ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak, Datuk Len Talif Salleh sebagai wakil kerajaan Sarawak.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri terus cakna pembangunan luar bandar melalui penyediaan infrastruktur penting seperti jalan raya, elektrik dan bekalan air.
Menurutnya, inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat serta merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, sekaligus mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Projek di bawah seliaan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak.
Ia bertujuan untuk memperkukuhkan aspirasi Kerajaan Sarawak dalam mencapai status negeri maju menjelang 2030, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19.
Antara projek utama yang sedang dilaksanakan termasuklah naik taraf jalan pesisir, pembinaan jalan utama kedua, jambatan, menara telekomunikasi, serta penyediaan bekalan air dan elektrik.
Len Talif berharap agar pembangunan yang berterusan dapat mengubah wajah Sarawak, meningkatkan taraf hidup masyarakat, dan mewujudkan peluang kemakmuran yang lebih inklusif di seluruh negeri termasuk kawasan pedalaman.






