
TAWAU – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengenal pasti lokasi strategik bagi membangun sebuah dewan serba guna baharu di Merotai.
Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah berkata, tapak itu terletak di kawasan pelan Pekan Merotai Baharu yang berhampiran dengan Kijang Point.
“Pemilihan tapak ini juga merupakan pelan perancangan jangka masa panjang bagi pembangunan Pekan Merotai Baharu.
“Kami telah mengenal pasti beberapa lokasi yang sesuai untuk tujuan pembinaan tersebut membabitkan tiga infratruktur iaitu dewan, parkir kenderaan dan padang.
“Justeru, tapak di kawasan keluasan lebih 1.2 hektar ini dirasakan sangat sesuai selepas mengambil kira kedudukannya yang tinggi dan bebas banjir,” katanya kepada media selepas membuat tinjauan di kawasan tapak dewan baharu, di Merotai.

Menurut Liew, kelulusan peruntukan itu membuktikan keprihatinan kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah yang mahu memastikan Merotai tidak ketinggalan dalam arus pembangunan Sabah Maju Jaya walaupun terletak di kawasan pembangkang.
“Kerajaan Negeri mahu dewan baharu ini kelak menjadi nadi kepada aktiviti ekonomi, sosial dan kebudayaan warga Merotai.
“Saya percaya jika diuruskan dengan baik, ia mampu menjadi lokasi pusat tumpuan awam termasuk satu lagi lokasi pertubuhan ekonomi untuk anak Merotai,” katanya.

Pada 16 Februari lepas, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi pembinaan dewan baharu tersebut bagi kegunaan komuniti setempat.
Turut diumumkan peruntukan sebanyak RM1.9 juta bagi pemasangan lampu solar dari kawasan persimpangan Jambatan Putih sehingga ke Kampung Sungai Udin serta pewartaan Kg Melati Burut dan Kg Iban sebagai perkampungan sah terbaharu di Merotai.




