
KANGAR – Seorang penceramah selebriti dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima gelaran tidak diiktiraf daripada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md. Kamal dan Jodia Poh Yi Tying di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Tertuduh, Ahmad Husam Muhamad Baderudin, 34, didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis pada 4 Mei 2023, kira-kira jam 11.30 malam.
Ahmad Husam dituduh menerima gelaran tersebut yang dianggap satu kesalahan mengikut Seksyen 4A(3) Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) (Pindaan) 2016.
Kesalahan itu juga dibaca bersama Seksyen 17 Akta Kesalahan yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017.
Tertuduh mengaku faham dengan pertuduhan yang dibacakan sebelum memohon untuk dibicarakan.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM50,000. Bagaimanapun, peguam tertuduh, Nur Iman Nor Azmi dan Nur Amin Nor Azmi, memohon jumlah itu dikurangkan.
Mereka berhujah bahawa Ahmad Husam menanggung isteri dan anak serta menghidap penyakit asma dan gout.
Hakim kemudiannya menetapkan jaminan RM25,000 dan tertuduh dikehendaki melapor diri di balai polis setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Oktober depan.
Jika sabit kesalahan, Ahmad Husam berdepan denda antara RM250,000 hingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.



