
KLUANG – Dakwaan kononnya calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah tidak akan menyampaikan suara rakyat kerana menjadi ‘orang’ Menteri Besar Johor hanyalah temberang pembangkang bagi meraih undi.
Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday berkata, tuduhan ciptaan
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Afif Bahardin dilihat bersifat serangan peribadi yang bertujuan bagi mewujudkan persepsi terhadap Kerajaan Perpaduan.
Menurut beliau, PN tidak seharusnya mengelirukan pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dengan membuat serangan peribadi serta mempersoalkan kemampuan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah.

“Tidak timbul isu pun dengan pemilihan Syed Hussein, dia memang calon yang dipilih UMNO bahagian Kluang. BN dan UMNO memang rapat dengan rakyat dan masyarakat di Kluang.
‘Dr Afif apa dia tahu di Kluang kerana beliau bukan orang sini. Justeru itu, dia tak tahu, macam mana orang Kluang dan apakah bentuk pembangunan yang dimahukan penduduk di kawasan ini,” katanya kepada The Malaysia Press, hari ini.
Terdahulu, Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mendakwa Syed Hussein tidak akan ‘bersuara’ mengenai masalah penduduk sekiranya menang PRK DUN Mahkota kerana beliau mewakili kerajaan negeri.
Sehubungan itu, jelasnya, sudah tiba masanya Johor mempunyai pembangkang yang kuat untuk menyuarakan isu setempat dan ini boleh dilakukan menerusi kemenangan PN di DUN Mahkota.
Mengulas lanjut, Md Jais berkata, begitu juga dalam isu sijil halal dan juga surat layang kepada pengundi Cina di kawasan DUN Mahkota yang dilihat cuba diambil kesempatan oleh pembangkang untuk melaga-lagakan pemimpin parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.
“Pembangkang khususnya PN ketika ini dilihat sudah buntu atau ketandusan isu yang hendak dimainkan sehingga sanggup membuat cerita-cerita dangkal kerana terdesak mahu mendapat undi penduduk di sini.
‘Malah, saya merasakan tidak ada pengundi yang akan terkeliru dengan agenda pihak lawan pun kerana banyak permasalahan penduduk setempat telah diselesaikan oleh UMNO dan BN,” katanya.
Dalam pada itu Md Jais menyakini BN akan mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan menperoleh majoriti yang lebih tinggi berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
“Jentera semua parti komponen yang membantu calon BN berjalan dengan baik, tidak timbul masalah. Begitu juga jentera Wanita UMNO juga sentiasa membantu, tidak ada protes atau boikot seperti dakwaan pihak tertentu, itu hanya spekulasi jahat.
“Kalau diperhatikan dari gerak kerja jentera parti yang bertanding, kita boleh melihat tidak ada jentera. Mereka buka khemah pun tidak ada orang, jadi kalau tak dapat sambutan jangan salahkan UMNO atau BN, salahkan diri sendiri,” katanya.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.
BN mempertaruhkan Syed Hussien, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) yang lepas manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.
Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.









