
BALING – Pemilik anjing Rottweiler didenda RM8,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan cuai sehingga menyebabkan haiwan peliharaannya itu menyerang lima mangsa hingga cedera pada 1 April lalu.
Tertuduh, Chong Shen Chong, 69, seorang ahli perniagaan dikenakan denda itu selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Najwa Che Mat.
Bagaimanapun, tertuduh selesai membayar denda dikenakan.
Mengikut pertuduhan, Shen Chong didakwa dengan cuai membiarkan anjing peliharaannya menyerang lima mangsa termasuk warga Mesir di lokasi berasingan sekitar kawasan perumahan Taman Desa Bidara antara pukul 4.45 pagi hingga 7 pagi, 1 April lalu.
Lima mangsa terlibat ialah Khadijah Abdullah, 66, warga Mesir, Ahmed Abdeltawwad Moustafa, 28, Asyida Nizam Ahmad, 50, Shaik Peer Mohamed Mohamed Mydin, 51, dan Goh Bing Hak, 74.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Alvin Kua Tze Min.
Selain itu, dua ekor anjing Rottweiler peliharaannya yang terlibat dalam kes tersebut telah dilupuskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah.







