
MIRI – Pembinaan projek Jalan Penghubung Sabah dan Sarawak (SSLR) Fasa 1 kini telah mencapai tahap lima peratus berbanding perancangan awal sebanyak 30.32 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang November 2026, kata Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir Aidel Lariwoo.
Pembinaan projek ini bukan sahaja bertujuan menyediakan jaringan jalan raya yang menghubungkan Sarawak dan Sabah tanpa melalui Brunei Darussalam sekaligus meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk setempat.
Tambahnya lagi, Surat Setuju Terima (SST) bagi projek ini telah diserahkan oleh Menteri Kerja Raya kepada kontraktor Utama (Maltimur Aktif Unggul JV) pada 26 Mac 2024 di Kuala Lumpur dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah dilantik sebagai Pengarah Projek dan projek tersebut dijangka akan siap dalam tempoh lima tahun.
Beliau berkata, projek ini melibatkan pembinaan jajaran baharu dan menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 322 kilometer yang akan menghubungkan Lawas ke Limbang dan seterusnya ke Pekan Mulu tanpa melalui Brunei Darussalam dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM7.2 billion.
Menurut Datuk Ir Aidel, Projek Lebuhraya Trans Borneo masih lagi dalam peringkat perancangan dan seterusnya dasarnya dibahagikan kepada tiga pakej melibatkan kos RM2.3 billion iaitu laluan dari Kuala Baram ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuaratin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh, Miri sepanjang 4.9 kilometer (km), dari ICQS Tedungan ke ICQS Pandaruan, Limbang iaitu sepanjang 54.6 km dan dari Pekan Lawas ke ICQS Merapok, Lawas iaitu sepanjang 33.7 km.