
KUCHING – Pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris mampu memberi akses kepada pelajar untuk memperkukuh pengetahuan global.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata kerjasama antara pakar tempatan dengan pakar antarabangsa mampu menjadi platform unik untuk berkongsi ilmu penyelidikan.
“Salah satu inisiatif utama dilaksanakan ialah Pengajaran Sains dan Matematik di Sarawak yang bermula sejak 2020,” kata beliau.
Tambah beliau, pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris mampu menyediakan pelajar asas yang kukuh dalam persaingan global.
“Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi memperluaskan akses mereka kepada pelbagai sumber pengetahuan,” kata beliau lagi.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Gala Simposium Kebangsaan Sains dan Matematik (SKSM31) Ke-31 & Majlis Anugerah PERSAMA pada Rabu.
Sementara itu, penubuhan Pusat Sains Sarawak yang mengambil contoh penubuhan institusi seperti Pusat Sains di Singapura yang dijadualkan siap pada penghujung tahun depan dan dijangka beroperasi menjelang 2026.
Selain itu, Common Science Labs akan diwujudkan di semua daerah di Sarawak untuk berkongsi pengalaman makmal sains yang sebenar kepada pelajar terutama luar bandar.