PUTRAJAYA – Tindakan pihak pembangkang menolak memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan tidak bererti rundingan berhubung perkara itu telah tamat, kata jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi itu berkata, ini kerana kerajaan sentiasa bersikap terbuka untuk mengadakan kerjasama atau rundingan dengan pihak pembangkang.
“Malah sejak hari pertama Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengangkat sumpah, beliau telah membuka pintu seluas-luasnya untuk mengadakan kerjasama atau sesi rundingan.
“Pihak kerajaan bersedia sekiranya pihak pembangkang ingin meneruskan rundingan berkenaan MoU itu dan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof juga telah memaklumkan bahawa kita menunggu maklum balas serta kertas cadangan daripada pihak pembangkang,” katanya selepas merasmikan Pesta Seni Tradition In Tune 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, hari ini.
Semalam, pembangkang sebulat suara menolak draf MoU itu atas empat sebab asas yang dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta mendakwa beberapa syarat dikenakan dalam memorandum itu boleh menjejaskan antara lain hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera.








