
KINABATANGAN – Sebanyak 74 keluarga kehilangan tempat tinggal selepas 44 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Penangah, Tongod, di sini, pada malam Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Nurul Azlan Shah Jamalludin, jumlah isi rumah yang terjejas membabitkan seramai 131 lelaki dan 151 perempuan di kampung tersebut.
Jelas beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 berhubung insiden itu pada pukul 7.24 malam.
Azlan berkata, seramai 13 anggota dengan bantuan BBP Beluran bersama dua jentera dan utiliti bergegas ke lokasi terletak 174 kilometer dari balai bomba berkenaan.
“Anggaran jumlah kebakaran rumah melibatkan 44 rumah jenis tidak kekal dan separuh kekal berkeluasan tiga ekar terbakar sepenuhnya.
“Manakala, terdapat sebuah kenderaan yang turut terbakar sepenuhnya.
“Bagi operasi pemadaman, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran 900 kaki pancutan melalui sumber air terbuka,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Tambahnya, api berjaya dikawal pada pukul 2.30 pagi tadi manakala masa operasi tamat pada pukul 7.10 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.






