SEORANG pemandu lori parah di muka selepas dipercayai diserang harimau kumbang di tepi jalan berhampiran Bukit Tangga, dekat Jelebu, Negeri Sembilan, petang semalam.
Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu dirakam kamera papan pemuka sebuah kereta sebelum video berdurasi 16 saat itu dimuat naik di media sosial.
Rakaman itu memaparkan sebuah lori berhenti di tepi jalan dan kelihatan seekor haiwan berwarna hitam baru sahaja menyerang seorang lelaki, lapor Berita Harian.
Seolah-olah terkejut dengan kehadiran kenderaan merakam kejadian, haiwan dipercayai harimau kumbang itu melarikan diri ke seberang jalan.
Sejurus kemudian, kelihatan lelaki yang dikatakan pemandu lori rebah di tepi jalan, sebelum kereta itu berhenti di bahagian hadapan lori.
Turut dikongsi di media sosial beberapa foto menunjukkan seorang lelaki mengalami kecederaan pada bahagian muka dan berlumuran darah.
Difahamkan satu laporan polis sudah dibuat dan pihak berkuasa akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung kejadian ini.






