
KUALA LUMPUR – Sejak pengumuman berkaitan pelarasan semula subsidi diesel pada 9 Jun lalu, banyak pihak melihat ia adalah tindakan sangat tidak popular.
Bahkan, ada yang mengatakan ia akan membawa mudarat kepada Kerajaan Perpaduan.
Namun selepas lebih sebulan dilaksanakan, tanpa kita sedar kerajaan sudah berjaya menyelamatkan RM250 juta susulan tindakan pelarasan subsidi diesel itu.
Jumlah sebesar itu mungkin hanya permulaan kepada lebih banyak penjimatan lain yang sebelum ini berlaku akibat ketirisan jualan diesel kepada pihak yang tidak sepatutnya.
Pengumuman pelarasan subsidi diesel itu dibuat Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada hari Sabtu (9 Jun) dan ia berkuat kuasa keesokan hari, 10 Jun.
Amir Hamzah juga optimis berkata, langkah itu bakal menjimatkan kerajan sehingga RM4 bilion setahun.
Tindakan melakukan pelarasan subsidi diesel itu bukan hanya sekadar umum dan kemudian kerajaan membiarkan sahaja ia dilaksanakan.
Langkah diambil kerajaan selepas pengumuman itu adalah jelas, masih memikirkan kepentingan rakyat dan kumpulan yang berhak menerima subsidi bahan api berkenaan.
Jadi, kerajaan perkenalkan pula Budi Madani di samping penggunaan ‘fleet card’ kepada syarikat yang layak.
Tujuannya, untuk memastikan kos ditanggung pengguna diesel tidak memberi kesan kepada kenaikan harga barangan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diberi tanggungjawab dalam hal pengeluaran ‘fleet card’ dan ia secara aktif mengemas kini maklumat penting kepada syarikat logistik dan pengangkutan awam.
Berdasarkan kenyataan dibuat Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, melalui Skim Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0 sebanyak 1 juta ‘fleet card’ tersedia untuk dimohon oleh syarikat berkaitan.
“Mana-mana syarikat yang layak jangan bertangguh untuk memohon mendapatkan surat kelulusan SKDS 2.0 dan fleet card daripada syarikat minyak seperti Petronas, Shell, Petron, Caltex dan BHP.
“Kami terus komited menjayakan inisiatif penyasaran subsidi diesel dalam menangani isu ketirisan dan penyelewengan pemberian kerajaan,” katanya dalam satu sidang media pada 30 Mei lalu.
Armizan dalam masa sama menegaskan subsidi diesel masih wujud, cuma disasarkan semula kepada mereka yang layak.
“Isunya adalah ketirisan subsidi yang sudah lama berlaku akibat pendekatan subsidi pukal yang diguna pakai sebelumnya.
“Kini, subsidi diesel disalurkan secara bersasar melalui dua kaedah iaitu pertama subsidi harga runcit di stesen minyak kepada 33 jenis pengangkutan awam dan barangan yang disasarkan di Semenanjung Malaysia.
“Kedua, subsidi bantuan tunai RM200 kepada isi rumah yang menggunakan kenderaan diesel sama ada bagi kategori individu mahupun agri-komoditi dan perkara ini diselaraskan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.
Langkah pelarasan semula subsidi ini juga diakui mampu memperkukuh kedudukan fiskal kerajaan oleh pakar ekonomi tempatan.
Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed dilaporkan berkata, lebih banyak negara kini menghapuskan subsidi dan beralih kepada pendekatan yang dipacu oleh pasaran untuk mengukuhkan fiskal melalui kunci kira-kira.
“Kerajaan boleh menjimatkan kos dan menggunakan dana daripada penjimatan untuk pelaburan infrastruktur atau pembangunan.
“Pelaburan infrastruktur mempunyai korelasi langsung dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia,” jelasnya.
Keputusan pelarasan subsidi diesel ini akan terus dipantau oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebagai Perdana Menteri, Anwar memberi jaminan sebarang kelemahan susulan pelaksanaan pelarasan subsidi diesel akan diperbaiki.
“Kita baca liputan media (bahawa ramai) tidak dapat menerima (kenaikan) minyak diesel. (Di sini) kita nampak perlanggaran daripada (segi) peraturan diesel.
“Subsidi ini (diesel) untuk orang miskin, petani, nelayan dan pekebun kecil atau pun pihak bas sekolah dan pengangkutan awam, tetapi memang terlalu nyata orang yang mencerca kita. Tengoklah, maksud kita, kalau ada beberapa kelemahan, maklum, kita betulkan.
“Ini percubaan awal yang tentu hadapi sikit masalah. Saya tidak nafikan tetapi untuk mencerca seolah zalim menekan rakyat.
“Sebentar tadi, saya tanya jawatankuasa masjid, belia siapa terkesan dengan diesel, depa (mereka) kata tiada. Tetapi saya masih ambil sikap kalau ada masalah, tolong bagi tahu kerana (penyasaran subsidi) soal yang besar dan wajar kita teruskan,” katanya.